Monday, 23 August 2021

Pengalaman Bersalin Sewaktu PKPB (Part 1)

 Assalamualaikum.


Alhamdulillah segala puji bagi Allah, saya telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 5/11/2020 di Hospital Tunku Azizah, KL tepat 37 minggu 6 hari secara pembedahan. SYUKUR tak terkata 💜.


Akan tetapi bersalin waktu COVID 19 masih sedang berleluasa ni sangat la mencabar, mental dan fizikal kena kuat. Saya tak bersedia rupanya nak hadapi semua tu nak pulak anak pertama, pengalaman tiada, kena pulak masalah penyusuan dan tiada ilmu. Allah bila dikenang nak menangis. 


Semua bermula pada 4/11/2020, saya dah mula rasa tak selesa di perut tapi masih pergi bekerja. Bekerja pun rasa tak larat, rasa sakit yg masih boleh ditahan cuma rasa perlu berehat.  Sakit tu dibawa sampai ke malam tapi masih boleh nyenyak tidur hihi. Esok paginya pada 5/11/2020, dah mula rasa sakit macam nak period yg kerap. Rasa menyucuk2 tapi macam ada rhythm yg tak konsisten. Jadi agak keliru ini contraction ke ape? Bila tanya kawan, dia cakap itu belum. Kita tunggu kot2 ada show. Alhamdulillah hari tu saya buat keputusan nak MC je. Kalau pergi juga kerja fuh masakkkk. Dahla rumah dengan office agak jauh. Tunggu tak lama pun, tiba2 rasa nak buang air kecil, masa membuang terus ada keluar darah berjuraian (itu yg dikatakan show nya). Bila tanya kawan, dia dah suruh ke hospital. Saya terus minta suami balik dan saya masih kemaskan beg untuk dibawa ke hospital. Alang2  masuk tajuk kemas beg ke hospital ni, saya nasihatkan jangan ikut yg orang suruh bawa banyaktu. Hakikatnya yg kita guna di hospital sangat la minimum, yg lain buat berat beg je haaa. Nanti saya senaraikan apa yg benarperlu.

Lepas dah selesai semua yg penting, kami pun ke hospital. Masa ni agak sedih sebab kaunter hadapan di PAC tu macam taknak terima, tapi hospital kerajaan mana boleh tolak pesakit kan. Kakitangan yang jaga kaunter tu siap cakap 'kami tak tolak ye cuma kami beritahu keadaan sekarang, terpulang nak masuk juga atau tak'. Kami diberitahu kalau kami setuju nak tunggu 48-72 jam untuk kemasukan ke wad, boleh la bersalin di sini sebab katil sangat penuh. Masa ni tawakal je sebab tak tau nak ke hospital mana paling dekat dan dah rasa sakit. Saya pun isi borang declaration covid kot dan lain2.  Kemudian kami pun masuk setakat di dalam kaunter pendaftaran dan saya perlu masuk ke dalam untuk buat assessment lain oleh nurse dan doktor bertugas. Masuk je dalam, ramaiiiii sangat ibumengandung lain yg menunggu giliran untuk kemasukan wad sambil menahan sakit. Boleh kata penuh! Masa ni sangat berdebar dan takut dan malu bila fikir akan ada doktor lelaki yg buat VE nanti. Adoiiiii.

Doktor lelaki india yg buat VE saya yg pertama. Masa ni malu sangat tapi ini la yg kita perlu bersedia hadapi bila ambil keputusan bersalin di hospital kerajaan ni huhu. Bila dah selesai lega rasa tapi malu masih tak hilang. Haha~

VE yg pertama, bukaan dah mencapai 3cm. Masa ni rasa hmm betul ye dah nak bersalin ni, macam tak percaya anak ummi dah nak keluar. Masa VE kali kedua, doktor perempuan india yg buat dan bukaan dah mencapai 4cm. Lepas VE kedua ni, terus rasa contraction agak kuat sampai mengerekot atas katil kejap. Rasa gembira sikit masa ni sebab agak cepat sampai 4cm tapi tiba ada masalah bila doktor baca sejarah rawatan saya, yg mana saya pernah menjalani pembedahan buang fibroid sebesar 6cm tu. Doktor perempuan tu beritahu, saya ada risiko rahim pecah jika bersalin normal sebab baru lagi buang fibroid di belakang rahim. Masa ni rasa sedih dah dengan suami tak dapat teman. Pilihan di tangan saya sebenarnya, cuma doktor ada nasihatkan, 4 tahun saya menunggu untuk cahaya mata ni, baik saya kurangkan risiko dengan bersalin secara pembedahan. Fikir punya fikir, saya taknak sakit 2 kali jadi dengan berat hati saya memilih bersalin secara pembedahan. 

Lepas buat keputusan tu, semua berjalan dengan pantas. Saya minta nak solat Zohor dulu. Kalutlaaa cari surau masa ni dah akhir waktu baru nak solat adoiii. Masa solat, contraction kuat juga tapi masih boleh tahan. Rasa nak berlamalagi di surau sampai waktu Asar tapi risau orang mencari, jadi saya pun batalkan niat. Sampai je di kaunter, terus nurse panggil nama saya dan suruh tukar baju disebalik tirai je. Borang kebenaran semua dah sign sebelum solat lagi. Masa ni rasa kalau ada duit banyak, elok la ke swasta lebih terjaga kot bab aurat ni 😭. Pendek cerita, siap semua saya dibawa ke OT. Masa ni seram sebab kita akan dibedah dalam keadaan sedar. Tawakal sepenuhnya pada Allah. 

Masa mengandung saya hanya buat research pasal bersalin normal tapi bila tibakena bersalin secara pembedahan, tak dapat nak fikir ape kecuali aku kena bedah dalam keadaan sedar. Macam mana operasi dilakukan, clueless! Jadi pada yang bakal bersalin tu, elok buat research untuk duakeadaan ni supaya tak la terkejut dan ada gambaran sikit ape yang akan berlaku. 

Di OT, saya dalam keadaan terbaring dan tangan didepakan kanan dan kiri. Keadaan dalam tu sejukkkkkkk sangat. Dari dalam OT sepanjang pembedahan sampai dah selesai pun badan dan bibir siap berlagasejuk punya pasal. Sebelum bius, staf yang berkaitan akan tukar lapik di badan dan kaki kita. Rasa macam ditogelkan je dan lagi sekali malu sebab mestilah staf lelaki dan perempuan bercampur urus kita 😢. Doktor bius akan cucuk ubat bius di tulang belakang. Saya disuruh duduk dan peluk bantal dan dia akan cucuk ubat. Lepas cucuk, serta merta contraction yang macam semakin nak kuat tu hilang. Doktor akan cubitperut kita untuk tahu sama ada ubat bius dah berkesan ke tidak. Masalahnya dekat sini saya rasa kesan kena cucuk tu haha. Doktor cakap saya nervous kot, suruh doktor bedah mulakan je. Alhamdulillah tak rasa sakit. Seram kalau betulsakit waktu pembedahan tu fuh tak pasal je. Masa dibedah tak rasa ape, tapi bila doktor nak keluarkan baby, dia akan tekan area antara dada dengan perut kot supaya ada pressure bagi baby keluar. Masa ni Allah sakit susah nak bernafas. Saya hanya sebut Allah, Allah, Allah lepas tu doktor bius suruh selawat sebab baby dah nak keluar. Alhamdulillah, semua selamat. Dengarlah tangisan yang ditunggu selama ni. Doktor tunjuk baby pada saya dan beritahu baby kena tahan dulu di NICU untuk cek pernafasan rasanya. Jadi untuk 1 malam, anak tak bersama dengan saya. Tapi memang saya tak boleh nak jaga lagi sebab kesan bius masih belum hilang sepenuhnya. 

Itu pengalaman yang pertama agak mencabar dengan pandemik yang tak sudah ni. Pengalaman kena tahan 4 hari dalam wad kisah lain pulak. Mengundang air mata juga. 

Semoga Allah anugerahkan pasangan yang masih menunggu zuriat, dikurniakan zuriat soleh solehah. Aamiin. 

Tuesday, 19 January 2021

Debaran Itu

Assalamualaikum w.b.t. 😊

Alhamdulillah since dapat tahu saya pregnant, pejam celik kandungan saya dah pun berusia 18 minggu. So apa yang berdebar sangat tu ye. Jeng jeng jeng~

Sebenarnya lepas dapat tahu pregnant, saya terus buat temujanji dengan doktor Hamid untuk check situasi kandungan saya. Mungkin ada setengah orang tunggu untuk buka buku pink di Klinik Kesihatan (KK) berdekatan atau pergi klinik terdekat untuk pengesahan pregnant kan, tapi saya nak juga jumpa doktor Hamid since saya ada buat operation dengan dia 6 bulan lepas, nak juga beliau check condition kandungan saya ok ke tak dan sekiranya ada masalah ke boleh bincang terus dengan beliau since beliau ada rekod sejarah rawatan saya. 

Pada 16/03/2020, tarikh yang saya dapat temujanji dan awal pagi dah terpacak dekat TDMC. Klinik pun gelap lagi huhu. Semangat tak semangat tu 😂. Agak lama tunggu staff klinik datang dan agak lama juga nak tunggu turn jumpa doktor walaupun dah datang awal. Tapi apela sangat nak menunggu jumpa doktor tu dengan debaran untuk scan huhu. 

Akhirnya dalam jam 10 lebih nama saya dipanggil juga ke bilik scan. Hanya seorang je boleh masuk kebiasaannya, suami saya tunggu di luar je. Hati berdebar entah kenapa sebab masa staff doktor scan, dia diam je dan kita tak dapat nak tengok dekat skrin monitor tu sebab skrin hanya mengarah ke staff. Lama diam, soalan pertama dia tanya ' Puan ada bleeding tak?'.... Masa ni dah rasa tak sedap hati. Dia pun beritahu yang kantung dah nampak cuma position kantung berada di tengah rahim dan sepatutnya  duduk belah atas. Jadi saya buat kesimpulan sendiri yang mungkin ada risiko gugur sebab duduk di tengah, semakin dekat dengan serviks. Allah masa tu sedih sangat rasa dan tahan air mata. Staff doktor cakap tak apa kita jumpa doktor dulu. Keluar dari bilik scan terus beritahu suami. Saya pulak tanya 'Abang mesti sedih kan', dia pulak jawab 'Tak lah ni kan rezeki Allah, kecewa sikit ada la tapi tak lah sampai sedih'. Alaaaaa sedih kita. Masa menunggu turn jumpa doktor, saya ada mesej kakak ipar yang kerja sebagai gynae juga, ada harapan ke kandungan untuk survive kalau kantung di tengah? Kakak ipar beritahu ada je dan suruh banyakkan berdoa. InsyaAllah tiada yang mustahil dengan kuasaNya 😊.

Masa untuk jumpa doktor Hamid pun tiba, doktor tak cakap tahniah pun buatkan saya rasa macam mungkin sebab kantung kat tengah tadi hihi. Doktor tak cakap pasal kantung di tengah tu, cuma beritahu kantung dah nampak. Beliau akan bagi ubat kuat rahim macam dalam gambar di bawah tu untuk disuntik pada bahagian pinggul/lengan sebanyak sekali seminggu selama sebulan. Kemudian suami tanya, boleh ke nak jalan jauh?Doktor larang jalan jauh sebab kandungan tak kuat lagi, untuk bersama pun dilarang. Saya ada tanya berkenaan hal kerja sebab kerja saya perlu melasak juga dan pejabat pun kena turun naik tangga. Doktor suggest untuk bekerja dari rumah selama 3 bulan. Jadi saya pun bersetuju. Surat juga diberi untuk diserahkan kepada majikan. 

Lama menahan tangis dekat klinik, akhirnya bila buka cerita depan bos berjuraian air mata. Memang tak dapat tahan. Malu pun dah tak kisah sebab tak dapat tahan 😂. Alhamdulillah bos teramat memahami sebab dia pun tahu dah lama saya tunggu saat ni. Siap tanya dah berapa lama saya kahwin. Jadi bermula 16/03/2020 sehinggalah 14/06/2020 saya hanya bekerja dari rumah. Kebetulan 18/03/2020 tu bermula la sejarah buat negara kita kan, PKP pun bermula. Jadi bukan saya je yang kerja dari rumah, semua sekali hihi.

Dipendekkan cerita, saya dah tak follow up dengan doktor Hamid disebabkan follow up bulan berikutnya dibatalkan due to PKP dan klinik tutup. Selepas habis ubat kuat rahim jenis suntikan tu, saya hanya teruskan ubat kuat rahim Duphaston jenis makan atas nasihat doktor yang berdekatan dengan rumah sebab dia tau kes saya juga. Dia minta teruskan sehingga 12 minggu. Masa kandungan 8 minggu, saya buka buku pink di KK dan tanya berkenaan Duphaston, doktor KK ok je untuk teruskan makan dan alhamdulillah semuanya lancar setakat ni.


Doakan kandungan dan zuriat kami sihat sempurna sifatnya
Menjadi anak yang soleh/solehah. 
Doakan 😊

Thursday, 16 April 2020

Alhamdulillah!Allahuakbar!!

Assalamualaikum wbt ttcian,

Semoga semua baik dan sihat saja.

Ingat tak pada pos yg lepas saya dan suami nak terus ke langkah seterusnya yg doktor Hamid suggest iaitu IUI. Cuma kami bercadang untuk buat IUI di LPPKN lepas baca beberapa pengalaman ttcian lain yg buat IUI dengan doktor Hamid dan kami pun dah ada rekod dengan LPPKN sebelum ini jadi semua lebih mudah.

Saya dah dapat agak cycle kedua dengan clomid tak berjaya berdasarkan pengalaman sebelum ini. Sangat yakin actually dan saya yakin bila tarikh period saya akan datang. Saya dah dapatkan temujanji awal pada tarikh hari pertama period saya akan datang iaitu pada 14/02/2020. Tetapi rezeki tak menyebelahi kami untuk teruskan dengan IUI disebabkan suami saya dapat panggilan kursus pada waktu kami jangka IUI akan dibuat jadi saya batalkan temujanji tu dan masa tu memang pasrah je perasaannya. Saya dah taknak teruskan apa-apa rawatan dan mula fikir jika ada rezeki anak alhamdulillah, jika tiada saya redha. Bukan putus asa cuma nak didik hati supaya lebih redha dan rehatkan minda. 

TETAPI perancangan Allah itu yg terbaik. Saya ingat bila suami kursus, dia akan sangat sibuk lebih dari waktu kerja sebab kursus sebelum ni kelas sampai jam 11 malam tapi kali ni jam 4.30 kelas dah tamat. Hari-hari suami balik awal sepanjang waktu kursus, badan pun tak penat macam selalu. Disebabkan jarang-jarang suami balik awal, sepanjang suami berkursus, saya akan balik awal ke rumah mengharungi jammed (selalunya saya akan tunggu jammed reda baru balik). Masa ni walau kena redah jammed, happy sebab balik rumah suami ada 😁.

Bulan ni kami tak berapa tumpu pada ttc, walaupun suami selalu tanya bila waktu subur, saya buat acuh tak acuh. No OPK @ BBT. Semua pasal ttc saya buang jauh-jauh. Semua group ttc yg saya follow di Facebook/Instagram/Whatsapp saya unfollow dan left. Memang betul-betul nak meredhakan hati dari terlalu berfikir 'bilalah giliran saya pula untuk hamil?'. Saya hanya buat macam biasa, kehidupan dilalui seperti biasa. Suami pun tak tanya dah 'ada rasa nak period tak bulan ni?'. Hihihi..

Tanggal 12/03/2020 (CD28), saya cuba buat UPT tanpa rasa berharap. Kenapa saya buat kalau tak rasa berharap? Sebab saya rasa lain cycle ni, tak ada tanda nak datang period. Perut tak rasa cramp macam selalu dan yg paling ketara dan buat saya musykil, dah CD28 tapi saya masih lagi rasa tender breast. Disebabkan itu saya tergerak nak buat tanpa sebarang harapan. Minggu ni juga banyak kerja-kerja berat saya buat tanpa rasa bersalah huhu. Saya takung urine dan celup UPT dan teruskan mandi. Biasanya saya akan tunggu dan pandang je UPT tu kot ada keluar double line hihi, kali ni sebab fikir 'alah ada kee??mesti takda dan gelak dalam hati'. Dalam tengah mandi saya cuba jenguk UPT, takut lambat tengok jadi evap line pulak. Masa tu terbuntang mata sebab ada line lagi satu!!!Saya terus yakin saya memang pregnant walau line kabur sebab selama ni berdozen-dozen UPT saya buat tak pernah ada line tu. Jadi saya keluarkan 3 lagi jenis UPT yg berbeza dan test termasuk 2 UPT brand Clearblue. Kesemuanya alhamdulillah POSITIF!!Menggigil tak terkata apa dan nak menangis pun tak. Rasa macam mimpi. 

Saya teruskan siap-siap untuk solat berjemaah dengan suami. Masih fikir nak bagi tau suami terus ke atau nak surprise masa anniversary nanti? Tapi bila saya fikir tak tertanggung rasanya nak rahsiakan benda ni dari suami, selesai solat subuh saya tunjuk UPT CB digital dan beritahu saya pregnant. Suami cakap jangan main-main. Saya kata betullah tengok la ni. Suami terus sujud syukur 😊. Alhamdulillah kerana Allah memakbulkan doa kami selama ini. Semoga Allah jaga kandungan ini sehingga selamat dilahirkan. Doakan semuanya selamat dan ada rezeki kami menimang cahaya mata kali ni. 

Thursday, 13 February 2020

First Appointment Selepas Pembedahan

Assalamualaikum.

Saya ringkaskan kejadian selepas appointment ni. Malas nak taip panjang-panjang. Hihi~


02/12/2019, Isnin :CD 13:

~First appointment selepas pembedahan.
~ Buat TVS, rahim telah menjadi kedudukan anteverted. Sebelum ni retroverted. Ada sebiji telur di sebelah kanan yang mungkin akan mengambil masa dalam 2 hari lagi untuk pecah. Untuk makluman sehari sebelum appointment (CD 12) saya dah dapat OPK positif. Selama ni baca 24 jam selepas OPK positif kita akan berovulasi, tapi bila nurse cakap ambil masa lagi 2 hari, blur kejap. Bila tanya Dr. Hamid, dia kata ada yang ambil masa 72 jam pun ada. So selama ni sy silap la stop BD awal sangat. Huuu~
~ Dapat result hasil pembedahan, fibroid paling besar 6 cm rupanya, bukan 8 cm. Ada endometriosis juga.
~ Dr. Hamid suruh mencuba bulan ni, kalau tak berjaya, dia bekalkan clomid & norculut untuk 2 cycles. Dr suggest saya beli sendiri di farmasi sebab kos lagi murah dan kalau berjaya bulan ni, tak la membazir ubat tu. Kami setuju dan Dr hanya bagi surat untuk saya tunjuk di farmasi nanti.

15/12/2019, Ahad :CD 26:
~Mula spotting di sebelah malam.
~ Redha belum rezeki kami.

16/12/2019, Isnin :CD 01:
~Dah mula heavy period. Masih senggugut yang boleh ditahan.
~ Beli clomid & norculut di Caring Pharmacy.

17/12/2019, Isnin -21/12/2019, Sabtu :CD 02-CD 06:
~ Mula makan clomid 100 mg sehari tepat pukul 10.50 malam.

04/01/2020, Sabtu - 11/01/2020 : CD 20-CD27
~ Mula makan norculut 1 biji pagi dan 1 biji malam.

15/01/2020, Rabu - 13/01/2020, Khamis :CD 01-CD30:
~ Mula balik rutin yang sama seperti cycle yang lepas & long story short, masih tak berjaya. Going for IUI insyaAllah but at LPPKN. Dah semakin redha dengan ketentuan Dia. Bersabarnya orang yang menunggu berbelas-belas tahun. Saya baru nak masuk 4 tahun dah rasa lelahnya. Nevermind, Allah ada. Semoga dikurniakan kesabaran itu. 😊





Friday, 25 October 2019

Pemakanan Selepas Pembedahan

Assalamualaikum ☺️

Saya share di sini pemakanan saya selepas pembedahan. Selepas terjumpa fibroid sebesar 8 cm tu, saya dah insaf dan lebih berjaga-jaga bab pemakanan. Doktor Hamid sendiri ada share pemakanan selepas pembedahan macam mana. Saya follow yang termampu cuma saya memang tak makan brown rice cuma saya kawal portion yang saya ambil. Saya siap beli mesin jus buah untuk ikut apa yang doktor suruh. Semoga Allah berkati usaha kami.

Guideline pemakanan yang doktor beri. 

Mesin jus buah model HR1833 brand Philips. Kalau ada yang nak beli, boleh search di Shopee ☺️

Akhir kalam, sentiasa doakan saya semoga Allah makbulkan doa kami. Dikurniakan anak-anak yang soleh solehah. Amiin. 


Thursday, 24 October 2019

Pengalaman Laparoscopy & Mini-Laparotomy

Assalamualaikum.

Alhamdulillah ketika menulis pengalaman ini, saya dah berada di hari ke 15 selepas operation dilakukan. Rasa sihat dan luka pun dah bercantum dengan baik. Syukur pada Allah. Masih berehat-rehat di rumah. Doktor bagi mc selama sebulan tapi office saya hanya luluskan selama 2 minggu sahaja. Terpaksa masuk office jugak next week. Nangis di bucu katil !_!

Saya catitkan pengalaman di sini sebagai kenang-kenangan dan rujukan untuk sesiapa yang akan menjalani rawatan ini.

18/09/2019; Rabu
Saya ke TDMC untuk isi borang consent dan admission form. Brief awal dari staff doktor Hamid sebelum ni, saya perlu jumpa Pn. Siti untuk dapatkan semua ni, but during that time, Pn. Siti ada kursus kot sebab dengar staff dekat meja tu berbisik sesama diorang, jadi saya disuruh tunggu sebab tarikh operation pada 26/09/2019, dah tak ada masa nak datang lagi sekali. Legaaaa sangat tak payah datang balik. Jadi hari yang sama saya dapat settlekan pengisian borang-borang ni. Then tunggu staff klinik nama Fatin untuk call saya bagi pengesahan kelulusan insuran. 

20/09/2019; Jumaat

Dapat mesej dari insuran yang menyatakan permohonan dah diluluskan. Semakin rasa berdebar masa ni. Its getting reallll!

23/09/2019; Isnin

Akhirnya dapat call dari staff klinik inform insuran dah lulus. Dia juga ada pesan untuk bawa baju untuk 3 hari 2 malam, toiletries, kad pengenalan suami dan isteri, medical card insuran, consent dan admission form. Saya perlu datang untuk admit dari pukul 3 hingga 5 petang pada 25/09/2019.

25/09/2019; Rabu

Saya dan suami sampai di Hospital Pantai Bangsar pada 3.45 petang,. Saya lakukan operation di sini sebabkan insuran yang saya guna hanya cover hospital ni je. Pertama kali datang sini, cantik tempatnya macam baru renovate. Masa ni rasa excited pulak. Berangan nak jalan-jalan lepas admit ward nanti. Bila orang sihat kene admit kan, perangai sangat boleh berangan nak berjalan!Haha. 

Kami terus ke Blok C, bahagian admission & discharge, kami bagi consent & admission form pada staff bertugas di kaunter, kemudian diberi nombor giliran. Proses ni la ambil masa paling lama sekali, punya lama menunggu nombor tak naik-naik sampai saya ke kaunter tu balik nak tanya kenapa lama sangat, mestilah diberi jawapan tunggu sebentar ye puan. Redha jelah. Masa menunggu dihabiskan dengan bergurau dengan suami. Hihi~

Akhirnya jam 5.45 petang rasanya baru selesai semua urusan penempatan ward. Suami ke Surau dulu untuk solat. Takut tak sempat sampai rumah sebab waktu orang pulang dari kerja confirm jalan jammed. Waktu suami di Surau, nama saya dipanggil untuk dibawa ke ward, ingatkan lepas naik boleh turun balik jumpa suami tapi kene tahan sebab akan ada sesi ice breaking. Baru berangan nak makan dulu dengan suami sebab memang lapar sunggu masa tu. Cakap dekat nurse, saya turun nak makan dulu tapi katanya makanan akan diberi juga petang tu. Redha jela. Suami terpaksa balik sebab ada perlawanan bola dengan budak-budak office. Sedihnya kene tinggal tak dapat salam. Redha jela lagi masa tu. Alhamdulillah sihat lagi kan tak ada la cengeng sangat. Saya ditempatkan di ward berempat. Saya dah request single room tapi penuh, bilik untuk dua orang pun penuh, jadi perlu bersabar dengan yang ini dulu sampai ada kekosongan. Sampai je di ward, hanya baring layan handphone sampai nurse datang untuk interview dan brief apa yang patut. Saya juga dibekalkan toiletries dan selimut yang boleh dibawa pulang! Selepas itu ada doktor bius yang datang melawat. Doktor ni tersangatlah rajin melawat. Doktor Nazri namanya. Dia tanya ada pakai gigi palsu ke, crown ke dan soalan-soalan yang nurse dah tanya sebelum ni. Kemudian saya disuruh untuk puasa tepat jam 12 tengah malam sehingga pembedahan esok. Saya juga dimaklumkan operation akan dijalankan pada jam 11 pagi dan saya orang yang ke lima. Orang yang last la tu sebab datang admit pun lambat 😂.

Toiletries dan selimut

Makanan pertama. Tengah sihat dan lapar jadi sangat berselera 😂

Selepas puas bergolek ke kiri dan kanan, nurse datang inform dah boleh tukar bilik tapi bukan bilik single tapi double. Tapi sangat bersyukur sebab bilik double pun dah rasa lebih privacy dari bilik berempat cuma suami tak dibenarkan bermalam,hanya ibu, kakak atau adik perempuan yang boleh. Jadi hari ini berjalan seperti biasa. Esok yang paling mendebarkan! 

26/09/2019; Khamis
Jam 5.38 pagi saya terjaga. Nurse datang untuk check tekanan darah. Semuanya ok. Kemudian ada nurse lain datang untuk masukkan ubat enema. Ubat ini akan membuatkan kita ingin membuang air besar dan seterusnya mengosongkan segala isi perut sebelum ke bilik bedah. Hehe. Nurse akan suruh kita tahan selama 5 minit, tapi jika belum 5 minit dah nak melepas boleh je ke toilet terus. Saya hanya dapat tunggu 3 minit lebih terus nak melabur 😂. Saya tak boleh solat, jadi duduk termenung sambil dengar ayat-ayat suci al-quran untuk menenangkan hati. Jam 8 pagi saya bersiap-siap untuk mandi. Sental habis-habisan sebab lepas operation tak dapat nak mandi. Dah siap, sambung dengar al-quran. Saya pasang surah Maryam, sambil menikmati bait-bait kalam suci Allah, saya hayati maknanya. SubhanAllah, sebak sangat rasa bila hayati makna surah Maryam bukti kekuasaan Allah. Sentiasa disemat dalam hati, tiada yang mustahil jika Allah berkehendak. Allahuakbar!

Saya dah beritahu suami untuk datang dalam jam 10 pagi atau awal lagi. Dekat pukul 10 pagi suami call dan inform dia baru nak ke hospital. Habis je perbualan dengan suami, ada nurse masuk tanya dah dibekalkan persalinan untuk ke bilik bedah ke? Saya cakap belum lagi. Nurse tu pandang nurse lagi satu macam muka nak marah. Ha sudah mesti ada miscommunication ni, dan tiba-tiba waktu sepantas kilat tu nurse suruh tukar baju. Sepantas kilat tu juga selitkan masa untuk mesej suami beritahu saya dah nak masuk ke bilik bedah. Suami pun call dan kami bermaaf-maafan. Takut la jadi apa-apa kan. Kemudian saya dicucuk di punggung ubat penenang dan mengurangkan saliva. Ubat ni akan buat kita rasa mamai dan mengantuk. Selesai semuanya. saya ditolak ke bilik bedah. Masa ni dah tak fikir sedih ke apa sebab suami tak ada pun nak hantar ke sana, saya cuma minta doa pada Allah semoga semua berjalan lancar. 

Saya di tahan di holding bay berdekatan bilik bedah. Lama juga ditahan di sini. Memang masa ni rasa nak tido je. Tengah layan rasa mamai tu, doktor Nazri datang dan meminta maaf kerana lambat. Terus katil saya ditolak ke bilik bedah. Sepanjang perjalanan di tolak ke bilik bedah, boleh pulak Doktor Nazri ni bergurau-gurau dengan staff nurse dia. Saya yang tengah mamai ni rasa annoying pulak 😐. Tepat jam 10.46 pagi saya sampai di depan bilik bedah. Berkelip-kelip mata tahan mengantuk dan saya pandang je jam tu. Nak sematkan dalam otak takut terlupa. Huhu. Nurse semak dokumen rasanya. Saya disuruh alihkan badan ke katil lagi satu kemudian di tolak masuk ke dalam bilik bedah. Dalam bilik bedah, nurse lekatkan wayar-wayar di dada dan letakkan mask di muka saya dan minta saya berselawat, kemudian Doktor Nazri masukkan something di tangan dan saya blackout. 

Sedar dari pembedahan dalam jam 2 petang atau lebih, tak berapa pasti sebab masih mamai, saya disuruh bangun dan alihkan badan ke katil lagi satu. Masa ni rasa nak marah dekat nurse sebab dahla sakit disuruh pulak alihkan badan sendiri. Tapi terpaksa juga angkat badan dalam kesakitan tu. Nurse baca something tapi yang paling jelas ditelinga saya masa tu 'minilap'. Dalam hati tertanya-tanya kenapa minilap sebab perancangan asal hanya laparoscopy?Ada jumpa something ke?Memang tak sedap hati masa ni. 

Saya terus ditolak ke recovery room. Masih dalam keadaan separa sedar, nurse tanya 'sakit ke puan' aku pun jawap 'sakit sakit' nurse pun jawab dia akan masukkan pain killer. Lepas tu rasa nak terkencing pulak, saya beritahu nurse tapi dia jawab 'kencing je puan kami dah masuk tiub'. Dalam hati confuse sangat sebab nak kene kencing macam biasa ke dia keluar sendiri. Banyak kali juga tanya nurse nak kencing haha. Sampai nurse beritahu aku rasa nak kencing disebabkan tiub tu barulah aku diam dan faham haha. Bila fikir balik nak tergelak pun ada. 

Lama juga ditahan di sini sebelum dipindahkan ke ward. Tak tau jam berapa dipindahkan ke ward, sampai je ward nampak suami di kerusi, sejuk hati dan sayu masa ni rasa nak peluk suami sebab rinduuu. Mak, ayah, kakak dan adik pun ada di sisi. Alhamdulillah ya Allah dah berjaya sampai ke tahap ini. Keadaan diri masih mamai dan rasa nak tidur. Boleh dengar orang berborak tapi mata berat sangat nak buka. Boleh buka kejap-kejap. Alhamdulillah tiada rasa nak muntah ke apa kesan dari ubat bius. Hanya mengantuk. Memang nurse pesan jangan makan, hanya boleh minum air kosong, jadi saya hanya minum sikit-sikit. Yang paling saya takut sakit tekak yang biasa diberitahu oleh blogger yang pernah melalui rawatan ni dek kerana gas yang dimasukkan melalui tekak tapi alhamdulillah saya tak rasa sakit. Semuanya dipermudahkan. Makanya saya sambung tidur. Mak yang menemani saya di ward. Terima kasih ibuku sayang. 

Sebelah malam, doktor Nazri ada datang melawat dan tanya rasa macam mana. Saya cakap ok je. Tak berapa ingat ada pertanyaan lain ke huhu. Kemudian sambung tidur lagi. 


27/09/2019; Jumaat
Jam 5.00 pagi saya terbangun. Macam biasa nurse akan ambil tekanan darah dan suhu badan. Masa ni dah rasa tak berapa selesa sebab kesan ubat bius dah habis, memang segar bugar. Badan pulak bertiub sana sini (tiub kencing, tiub buang darah beku di perut dan tiub di tangan kiri untuk masuk air dan painkiller), nak bergerak lebih-lebih sakit. Jadinya baring tanpa dapat bergerak sangat memang lenguh. Tak sabar nak buka semua wayar-wayar ni. 

Doktor Hamid datang pada pukul 8.30 pagi. Berdebar-debar nak tunggu result. Rasa akan ada something yang dijumpai sebab tiba-tiba perlu buat minilap. Tepat jangkaan saya, doktor inform yang saya ada fibroid sama besar dengan rahim terletak di belakang rahim. Kalau tak salah dengar ia berukuran 8 cm. Allahu selama ni waktu scan tak pernah nampak dan doktor selalu cakap rahim cantik. Katanya mungkin tak dapat kesan sebab dia menyorok di belakang rahim dan saya langsung tiada tanda-tanda yang melibatkan fibroid. Alhamdulillah Allah gerakkan hati untuk buat laparoscopy ni. Keseluruhannya saya ada 5 biji fibroids tapi lagi 4 biji tak sebesar yang satu itu. Kemudian saya juga di diagnosed endometriosis stage 1. Doktor Hamid juga ada published kes saya ini di facebooknya. Saya tahu itu kes saya dari description dan gambar rahim sebab saya ada diberikan DVD yang ada video keadaan di dalam perut saya. Mungkin kes saya ni agak serius kot sebab itu di published.. Bila tengok keadaan rahim saya di dalam video tu, rasa sedih dan berdosa sebab saya memang langsung tak menjaga pemakanan. Walaupun doktor ada cakap punca tidak diketahui dan melibatkan hormon, dari pembacaan saya mungkin corak pemakanan saya ada mempengaruhi hormon. Bertekad untuk menjaga pemakanan selepas ini. 

Fibroids yang dikeluarkan dari badan saya. Hasil ihsan facebook Dr. Hamid.

Doktor beri kebenaran kepada nurse untuk buka semua tiub. Alhamdulillah lega masa ni tapi lama juga nak tunggu nurse buka sebab perlu tunggu last dose ubat pain killer dimasukkan pada jam 2 petang nanti. Doktor juga bagi kebenaran untuk keluar hari ni. Saya memang nak keluar hari ini juga sebab rimas duduk di hospital dan menyusahkan mak nak jaga. Selepas last dose dimasukkan, mungkin dalam jam 2.30 petang nurse datang untuk tanggalkan semua tiub. Tiub yang paling sakit nak ditanggalkan ialah tiub di perut. Tak tau nak describe macam mana rasa dia, mungkin sebab tiub tu pun panjang, lama juga nak dikeluarkan tetapi saya berjaya tahan kesakitan tu alhamdulillah. Saya disuruh minum air sebanyak yang boleh dan pastikan kencing sendiri sebelum jam 6 petang. Alhamdulillah lepas buka tiub, saya minum air yang banyak, tak lama lepas tu boleh kencing sendiri. Tapi nak ke toilet untuk kencing tu azab la jugak. Masa ni sangat menghargai mak ada di sisi. Semoga saya boleh jaga mak sebaik ini dalam apa jua keadaan. Aaminnn.

Alhamdulillah jam 6 petang saya dibenarkan keluar. Tak terkira nak mengucapkan rasa syukur pada Allah kerana semuanya berjalan lancar dan Allah permudahkan jalan. Semoga Allah berikan kami suami isteri peluang untuk menjadi Abi dan Ummi selepas ini. 

*P/s: Penulisan ini pada hari yang berbeza dan tamat sepenuhnya pada 24/10/2019 iaitu genap sebulan saya telah membuat rawatan ini dan telah pun berada dalam cycle period yang pertama selepas pembedahan. Alhamdulillah. Sugery yang telah saya jalani atas suggestion doktor ialah D&C, Laparoscopy, Minilap Myomectomy (5cm), Cautery of Endometriosis dan VS - Uterus. Semoga dengan ini Allah mudahkan saya untuk pregnant secara natural. 


















Thursday, 15 August 2019

Klinik Dr. Hamid Arshat di TDMC & Laparoscopy

Assalamualaikum 😃

Akhirnya setelah berfikir, berbincang, buat research sikit dan bertanya pada orang yang sepatutnya, kami suami isteri sepakat nak meneruskan rawatan kesuburan ni dengan laparoscopy

Alkisahnya, disebabkan saya dah pernah ada rekod rawatan (tetapi rupanya setelah klinik bertukar di TDMC, rekod rawatan tu dah tiada dan perlu buat prosedur yang sama macam 1st appointment di YJN dulu) dengan Klinik Dr. Hamid dan hasil pembacaan, saya macam dah boleh agak prosedur rawatan yang akan disyorkan pada saya lepas ni, jadi saya dengan yakinnya pergi buat appointment balik dengan dia di TDMC semata-mata untuk dapatkan appointment untuk laparoscopy ni. 

Saya dapat appointment pada 7 Ogos 2019, turn untuk jumpa doktor ikut siapa yang datang awal so kami cuba datang seawal mungkin. Kami sampai dalam pukul 8 pagi di TDMC, masa tu macam dah ramai juga orang. Kami perlu letak kad pengenalan di kaunter untuk ambil turn. Tak lama lepas letak kad pengenalan, nurse akan panggil dan diberi borang dan file merah untuk kita isi sendiri butiran kita dan suami. Kemudian semua dokumen tu dipulankan semula. Tak lama lepas tu nurse akan panggil untuk sesi IV sejarah rawatan kita. Semua ni tak tunggu lama untuk settle, yang lama tunggu turn untuk TVS. Lepas TVS tak lama untuk nurse panggil jumpa Dr. Hamid. Dekat TDMC memang jumpa Dr. Hamid sendiri ya. 

Doktor pun explained disebabkan kami berdua tiada masalah, berkahwin dah agak lama dan faktor umur, rawatan yang dah dicuba pun tiada yang berjaya, doktor sarankan untuk buat pembedahan laparoscopy. Memang seperti yang di agak dan memang tujuan saya pergi jumpa Dr. Hamid semula untuk itu juga. Kami pun setuju. Dr. Hamid minta jumpa staff dia untuk buat appointment tapi disebabkan staff yang handle bahagian appointment ni cuti sakit, kami perlu ke Klinik Dr. Hamid di Bukit Damansara untuk buat appointment ni. Selesai semua urusan, kami dapat tarikh 26 September 2019 untuk pembedahan ini nanti di Hospital Pantai. Ada dua tempat boleh lakukan pembedahan ni sebenarnya. Lagi satu di TDMC sendiri tapi disebabkan insurans yang saya guna tak cover TDMC, saya hanya ada pilihan di Hospital Pantai sahaja. Ikutkan cepat juga tarikh yang kami dapat tu. 

Itulah usaha kami buat masa ni. Doakan kemudahan dan kejayaan dalam pembedahan ini dan tiada apa yang serius dijumpai. Semoga usaha dengan pembedahan ini membuahkan hasil yang baik buat kami dalam proses menimang cahaya mata kami ♥️.