Assalamualaikum.
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, saya telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 5/11/2020 di Hospital Tunku Azizah, KL tepat 37 minggu 6 hari secara pembedahan. SYUKUR tak terkata 💜.
Akan tetapi bersalin waktu COVID 19 masih sedang berleluasa ni sangat la mencabar, mental dan fizikal kena kuat. Saya tak bersedia rupanya nak hadapi semua tu nak pulak anak pertama, pengalaman tiada, kena pulak masalah penyusuan dan tiada ilmu. Allah bila dikenang nak menangis.
Semua bermula pada 4/11/2020, saya dah mula rasa tak selesa di perut tapi masih pergi bekerja. Bekerja pun rasa tak larat, rasa sakit yg masih boleh ditahan cuma rasa perlu berehat. Sakit tu dibawa sampai ke malam tapi masih boleh nyenyak tidur hihi. Esok paginya pada 5/11/2020, dah mula rasa sakit macam nak period yg kerap. Rasa menyucuk2 tapi macam ada rhythm yg tak konsisten. Jadi agak keliru ini contraction ke ape? Bila tanya kawan, dia cakap itu belum. Kita tunggu kot2 ada show. Alhamdulillah hari tu saya buat keputusan nak MC je. Kalau pergi juga kerja fuh masakkkk. Dahla rumah dengan office agak jauh. Tunggu tak lama pun, tiba2 rasa nak buang air kecil, masa membuang terus ada keluar darah berjuraian (itu yg dikatakan show nya). Bila tanya kawan, dia dah suruh ke hospital. Saya terus minta suami balik dan saya masih kemaskan beg untuk dibawa ke hospital. Alang2 masuk tajuk kemas beg ke hospital ni, saya nasihatkan jangan ikut yg orang suruh bawa banyak2 tu. Hakikatnya yg kita guna di hospital sangat la minimum, yg lain buat berat beg je haaa. Nanti saya senaraikan apa yg benar2 perlu.
Lepas dah selesai semua yg penting, kami pun ke hospital. Masa ni agak sedih sebab kaunter hadapan di PAC tu macam taknak terima, tapi hospital kerajaan mana boleh tolak pesakit kan. Kakitangan yang jaga kaunter tu siap cakap 'kami tak tolak ye cuma kami beritahu keadaan sekarang, terpulang nak masuk juga atau tak'. Kami diberitahu kalau kami setuju nak tunggu 48-72 jam untuk kemasukan ke wad, boleh la bersalin di sini sebab katil sangat penuh. Masa ni tawakal je sebab tak tau nak ke hospital mana paling dekat dan dah rasa sakit2 . Saya pun isi borang declaration covid kot dan lain2. Kemudian kami pun masuk setakat di dalam kaunter pendaftaran dan saya perlu masuk ke dalam untuk buat assessment lain oleh nurse dan doktor bertugas. Masuk je dalam, ramaiiiii sangat ibu2 mengandung lain yg menunggu giliran untuk kemasukan wad sambil menahan sakit. Boleh kata penuh! Masa ni sangat berdebar dan takut dan malu bila fikir akan ada doktor lelaki yg buat VE nanti. Adoiiiii.
Doktor lelaki india yg buat VE saya yg pertama. Masa ni malu sangat tapi ini la yg kita perlu bersedia hadapi bila ambil keputusan bersalin di hospital kerajaan ni huhu. Bila dah selesai lega rasa tapi malu masih tak hilang. Haha~
VE yg pertama, bukaan dah mencapai 3cm. Masa ni rasa hmm betul ye dah nak bersalin ni, macam tak percaya anak ummi dah nak keluar. Masa VE kali kedua, doktor perempuan india yg buat dan bukaan dah mencapai 4cm. Lepas VE kedua ni, terus rasa contraction agak kuat sampai mengerekot atas katil kejap. Rasa gembira sikit masa ni sebab agak cepat sampai 4cm tapi tiba2 ada masalah bila doktor baca sejarah rawatan saya, yg mana saya pernah menjalani pembedahan buang fibroid sebesar 6cm tu. Doktor perempuan tu beritahu, saya ada risiko rahim pecah jika bersalin normal sebab baru lagi buang fibroid di belakang rahim. Masa ni rasa sedih dah dengan suami tak dapat teman. Pilihan di tangan saya sebenarnya, cuma doktor ada nasihatkan, 4 tahun saya menunggu untuk cahaya mata ni, baik saya kurangkan risiko dengan bersalin secara pembedahan. Fikir punya fikir, saya taknak sakit 2 kali jadi dengan berat hati saya memilih bersalin secara pembedahan.
Lepas buat keputusan tu, semua berjalan dengan pantas. Saya minta nak solat Zohor dulu. Kalutlaaa cari surau masa ni dah akhir waktu baru nak solat adoiii. Masa solat, contraction kuat juga tapi masih boleh tahan. Rasa nak berlama2 lagi di surau sampai waktu Asar tapi risau orang mencari, jadi saya pun batalkan niat. Sampai je di kaunter, terus nurse panggil nama saya dan suruh tukar baju disebalik tirai je. Borang kebenaran semua dah sign sebelum solat lagi. Masa ni rasa kalau ada duit banyak, elok la ke swasta lebih terjaga kot bab aurat ni ðŸ˜. Pendek cerita, siap semua saya dibawa ke OT. Masa ni seram sebab kita akan dibedah dalam keadaan sedar. Tawakal sepenuhnya pada Allah.
Masa mengandung saya hanya buat research pasal bersalin normal tapi bila tiba2 kena bersalin secara pembedahan, tak dapat nak fikir ape kecuali aku kena bedah dalam keadaan sedar. Macam mana operasi dilakukan, clueless! Jadi pada yang bakal bersalin tu, elok buat research untuk dua2 keadaan ni supaya tak la terkejut dan ada gambaran sikit ape yang akan berlaku.
Di OT, saya dalam keadaan terbaring dan tangan didepakan kanan dan kiri. Keadaan dalam tu sejukkkkkkk sangat. Dari dalam OT sepanjang pembedahan sampai dah selesai pun badan dan bibir siap berlaga2 sejuk punya pasal. Sebelum bius, staf yang berkaitan akan tukar lapik di badan dan kaki kita. Rasa macam ditogel2 kan je dan lagi sekali malu sebab mestilah staf lelaki dan perempuan bercampur urus kita 😢. Doktor bius akan cucuk ubat bius di tulang belakang. Saya disuruh duduk dan peluk bantal dan dia akan cucuk ubat. Lepas cucuk, serta merta contraction yang macam semakin nak kuat tu hilang. Doktor akan cubit2 perut kita untuk tahu sama ada ubat bius dah berkesan ke tidak. Masalahnya dekat sini saya rasa kesan kena cucuk tu haha. Doktor cakap saya nervous kot, suruh doktor bedah mulakan je. Alhamdulillah tak rasa sakit. Seram kalau betul2 sakit waktu pembedahan tu fuh tak pasal je. Masa dibedah tak rasa ape, tapi bila doktor nak keluarkan baby, dia akan tekan area antara dada dengan perut kot supaya ada pressure bagi baby keluar. Masa ni Allah sakit susah nak bernafas. Saya hanya sebut Allah, Allah, Allah lepas tu doktor bius suruh selawat sebab baby dah nak keluar. Alhamdulillah, semua selamat. Dengarlah tangisan yang ditunggu selama ni. Doktor tunjuk baby pada saya dan beritahu baby kena tahan dulu di NICU untuk cek pernafasan rasanya. Jadi untuk 1 malam, anak tak bersama dengan saya. Tapi memang saya tak boleh nak jaga lagi sebab kesan bius masih belum hilang sepenuhnya.
Itu pengalaman yang pertama agak mencabar dengan pandemik yang tak sudah ni. Pengalaman kena tahan 4 hari dalam wad kisah lain pulak. Mengundang air mata juga.
Semoga Allah anugerahkan pasangan yang masih menunggu zuriat, dikurniakan zuriat soleh solehah. Aamiin.
No comments:
Post a Comment